Monday, March 25, 2013

"Bukan macam tu sayang, kena pujuk hati kerana tak mahu kebahagiaan yang sayang dan abang kecapi sekarang jadi kecelaruan, cukuplah dengan haru-biru masa lalu yang telah abang lalui dulu disebabkan kelemahan abang dulu, abang tak mahu lalui itu semua sayang, sakit tak terkira", Pujuk Saiful sambil menggengam tangan Nurani. Direnung wajah putih mulus itu sedalam-dalamnya. Terasa kasih dan sayangnya semakin dalam terhadap wanita dihadapannya ini. 

Manik-manik mutiara air mata berjuraian di pipi mulus Nurani. Hatinya benar-benar tersentuh degan ungkapan Saiful. Apa yang harus dikatakan saat ini, dibiarkan air matanya mengalir semahu-mahunya bersama isak tangisnya. Biarkan ia mengalir bersama resah dalam hatinya. Dia amat menyayangi Saiful, seorang lelaki yang telah berjaya membuka pintu hatinya untuk cinta setelah sekian lama tertutup oleh kelukaan yang teramat. Hingga menyebabkan dia lupa tentang indahnya cinta.

Dilihatnya Marissa berlari-lari gembira bermain air ditepi pantai. Ditarik nafasnya panjang-panjang lalu dilepaskannya perlahan-lahan. Direnung wajah Saiful sambil tersenyum. Tak sedar jari jemari Saiful mengesat air mata yang mengalir di pipinya. Nurani tertunduk malu, degup jantungnya kian laju dan dia kegugupan. "ah, kau terlalu baik Saiful". Bisik hati Nurani.

"Ermmmm macam tulah sayang, jangan menangis lagi, abang tak nak lihat sayang menangis lagi." sambil diangkatnya dagu Nurani. Hatinya berbunga riang, seseorang yang disayangi kini berada dihadapan matanya. Wajah yang dirinduinya bertahun lamanya dan penantiannya tidak sia-sia, akhirnya wajah yang dirinduinya berada dihadapannya.

"Marissa, mari sini, panas tu sayang." Nurani cuba menyembunyikan resahnya degan memanggil Marissa yang melompat-lompat kegirangan bermain ombak.
"Nantilah ibu, Marissa nak main lagi." Marissa terus bermain tanpa memperdulikan ibunya.
"Ermmm kalau dah dapat main, semua perkara tak diambil kisah." Bisik Nurani sendirian bagaikan terlupa Saiful sedang memandangnya dengan tersenyum.
"Sayang, biarkanlah dia nak bermain ombak, bukan selalu kan?" Saiful cuba meredakan dongkolan hati Nurani terhadap Marissa.

"Abang, sayang dah ada anak, Marissa anak sayang dengan arwah abang Rashid."
"Abang tak kisah, abang terima sayang seadanya, kita dah tua tau sayang, takkan sayang tak ada anak lainlah kalau sayang tak berkahwin kan?" balas Saiful sambil tersenyum sambil merenung wajah Nurani.
"Abang akan terima Marissa seperti anak abang sendiri, walau pun abang sendiri tak mempunyai anak, malahan abang berterima kasih jika Marissa sudi menerima abang sebagai papanya."

Nurani kelu dengan kata-kata Saiful yang amat diyakini akan ketulusannya. Angin Pantai Teluk Kemang terus berhembus lembut mengelus wajah Nurani. Sesekali dia memandang wajah Saiful dihadapannya dengan penuh rasa sayang yang mendalam. Apabila mata mereka bertemu pasti Nurani melarikan matanya ke arah lain menahan rasa malu di dalam hatinya. Kemerah-merahan pipinya menahan debaran hatinya. 


Wednesday, March 20, 2013

Angin berhembus lembut. Terdengar burung ciak berbunyi riang hinggap di tangkai padi yang menguning. Saiful terkaku melihat panorama itu, namun tidak memberi bekas padanya. Baginya semua itu kosong belaka, sebagaimana kosong jiwanya saat itu. Dia cuba membuang dua wajah dari membayangi ingatannya saat itu. Tapi tidak mungkin. Terngiang-ngiang ditelinganya suara ibunya berbicara dengannya pada awal pagi tadi. Persoalan itulah yang cuba dielakkan buat ketika ini. Bukan dia tidak suka tetapi satu wajah yang sangat dirindui dalam diamnya itu yang mengikat rindunya untuk tidak berpindah pada yang lain.

     Selepas bersarapan nasi lemak  pagi tadi Saiful bergegas keluar menuju ke dangau di hujung sawah milik peninggalan ayahnya kepada ibunya. Dia ingin mencari ketenangan di situ dan juga untuk mengelak daripada mendengar luahan hati ibunya untuk melihatnya berkahwin. "Ah, ibuku kau tidak mengetahui dalam hati anakmu ini telah terisi satu wajah, namun di mana kini wajah itu? namun dia masih berharap ada pertemuan dengan wajah itu." Saiful bermonolog sendiri.

   Bagaikan tayangan video jelas terbayang satu wajah, putih kemerahan membayang di hadapan matanya. Ayu, lembut dan pemalu. Kecil molek orangnya. "Nurani" bisik hatinya. Tidak pernah lagi dia tatap wajah itu hampir dua tahun lamanya. Bersamaan berakhirnya pengajiannya untuk menjadi seorang pendidik di Institut Perguruan Idris. Wajah itu sentiasa bermain di ruang matanya. Hatinya sering menyebut nama itu tanpa jemu. Namun dia tidak pernah menyapa gadis kecil molek kacukan cina itu. Entah kenapa dia tidak mempunyai kekuatan menegur gadis itu. 

    Setiap kali gadis itu melintas di hadapan kelasnya itulah saat yang amat dinantikan. Walaupun sekilas cuma namun amat membahagiakan, menghilangkan rindu yang bertamu di hatinya. Rindu yang disimpan dalam kotak rahsia hatinya dengan kemas, tidak siapa yang tahu. Entah mengapa hatinya pasti berdebar apabila berselisih atau melihat gadis itu dari jauh.

"Abang ngah, mak panggil." tiba-tiba suara adiknya Hafizi melenyapkan wajah nurani dari ruang matanya, mengejutkannya dari lamunan yang panjang. Lantas Saiful menarik nafas panjang lantas bergerak menuruni dangau yang diduduki dari pagi tadi. Tanpa disedari hari dah meninggi. Tanpa menghiraukan Hafizi yang melompat-lompat mengikutnya balik ke rumah Saiful berjalan dengan laju. Panahan terik mentari dirasakan menyucuk-nyucuk kulitnya yang sawo matang itu. Kulit orang Melayu sawo matang tetapi halus dan lembut.

  Sesampai sahaja di tangga Mak Teh Lijah menyapa Saiful. "Hem, berlama di dangau tu angah buat pe? macam termenung je," Mak Teh Lijah cuba menyelami hati anak terunanya itu. 
"Tak ada apalah mak, Saiful suka tengok padi yang menguning tu," Sahut Saiful cuba menjawab dengan bersahaja. Dia cuba menyembunyikan perasaan resah dan kerinduannya ketika itu terhadap seorang gadis yang entah di mana berada ketika ini. 
"Mak panggil angah kenapa?" tanya Saiful dengan lembut sambil memandang wajah Mak Teh Lijah yang pada raut wajah mempamirkan ketabahan seorang ibu membesarkan lima orang anaknya tanpa suami di sisi. Hampir sepuloh tahun pemergian bapa Saiful dari keluarganya akibat di patuk ular tedung.
"Angah, jom temankan mak ke bandar, dah lama emak tak kebandar. Mak ingat nak belikan Ija tudung. Dah berhari-hari dia merengek nakkan tudung baru." Mak Teh Lijah bersuara setelah dilihat Saiful terdiam dihujung tangga. 
"Elok juga tu mak, angah pun dah lama tak berjalan-jalan di bandar Temerloh," balas Saiful segera.
"Ye lah, sejak angah bekerja di Johor Angah pulang sekejap-sekejap sahaja kan, dan jarang-jarang keluar ke bandar sebab tu tak sedar Temerloh dah banyak berubah."
"Kita pergi selepas zohor nanti." balas Mak Teh Lijah sambil berlalu meninggalkan Saiful bersendirian melayan adiknya Hafizi yang keletah bercerita tentang rakan-rakannya.